Dalam kehidupan kita selalu mengharapkan sesuatu. Tapi tak semua yang kita harapkan akan jadi kenyataan. Namun kadangkala impian itu akan hadir walaupun ia tiba dengan jangka masa yang agak lewat. Tetapi lebih menakjubkan jika ia datang tanpa kita sedari. Itulah kuasa Tuhan. Sewaktu kecil-kecil dahulu aku cukup suka melihat bintang. Jika terlihat shooting star cepat-cepat aku memejamkan mata dan berhajat sesuatu. Walaupun ia agak kurang logik tetapi ia sebenarnya menambahkan keyakinan dan semangat untuk berusaha mencapai cita-cita. Tidak semua insan di dunia ini mencapai cita-cita dengan jalan yang mudah. Jika berasal dari keluarga yang kurang berada, kejayaan yang dicapai memang menerbitkan bibit-bibit kepuasan dan rasa terharu dalam diri. Puas kerana segala yang dicitakan tercapai dan terharu apabila mengenangkan segala cabaran dan pengorbanan yang telah dilakukan.
Setiap manusia di dunia ini melihat sesuatu dengan persepsi yang berbeza. Jika persepsi itu sama itu mungkin suatu kebetulan. Tetapi mungkin juga tidak jika diasuh dari latar belakang yang sama. Setiap benda akan dinilai dengan pandangan yang serupa. Jika berbeza pun mungkin hanyalah perkataan dan cara ia disampaikan. Aku masih ingat sewaktu aku berjalan kaki ke sekolah rendah antara tahun 1985 hingga tahun 1990. Perjalanan yang mengambil masa hampir 20 minit menjadikan aku biasa dengan tempat yang akan aku lalui dan lewati. Kemungkinan besar apa yang aku lihat sepanjang perjalanan ke sekolah ketika itu tidak sama dengan apa yang aku lihat sekarang jika aku memandu ke arah tempat yang sama. Jalan yang sama dan udara yang sama. Tetapi ‘rasa’ yang dinikmati antara tahun 1985 hingga tahun 1990 mungkin pudar sedikit. Dan ini mungkin adat dan kebiasaan yang pasti akan ditempuhi oleh sesiapa pun.
Kelmarin aku mendongak ke langit dan melihat taburan bintang. Aku berada beribu-ribu batu jauhnya dari kampung halaman. Namun bintang tetap bintang. Bintang yang kuamati dahulu masih tetap sama. Ia memancar terang. Sinar dan kerlipannya jelas dari jauh. Pancaran itu menusuk mata dan jatuh ke hati.
Anugerah yang diberi, kekuatan kita sebenarnya..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan