Isnin, April 09, 2007

Suasana di flat cukup sepi. Tidak wujud suasana hiruk pikuk seperti di Kuala Lumpur. Hampir lima bulan aku di bumi asing. Semuanya tidak sama seperti di tanah tumpah darah sendiri. Semuanya bermula dengan tawaran yang kuterima kira-kira lapan bulan yang lalu. Sengaja tidak kuberitahu pada sesiapa kecuali keluarga dan teman rapatku Ika. Sehinggakan Erwan terasa berkecil hati dan tidak mahu menegurku hampir dua minggu jika aku tidak silap. Ah, maaf getusku.

Semua ini hadir tanpa ku duga. Satu peluang yang memang aku tunggu-tunggu sejak dahulu. Aku harus menerimanya tanpa berbelah bahagi. Cuma cabaran getir dan liku-liku yang mungkin menunggu selama aku dua tahun tercampak di bumi asing ini.Deruan angin cukup kuat dan dingin. Kesejukan yang biasanya memaksa aku mengenakan pakaian yang cukup tebal. Ku hidupkan pemanas agar kedinginan itu segera hilang. Fikiranku menerawang sebentar. Tugasan yang diberikan oleh pensyarah hampir selesai. Cuma beberapa perkara lagi yang perlu diambil kira seperti pemurnian ayat dan lukisan kasar untuk jalan cerita. Semuanya terlalu baru untukku. Aku hadir di sini dengan satu misi. Misi yang penuh dengan harapan agar aku dapat membawa pulang sesuatu yang baru dan dijadikan kekuatan bagi generasi masa hadapan.

Tiada ulasan: