
Tapi khabar tetap khabar. kadangkala benar dan kadangkala tidak. titisan air hujan mula terasa. setitik. dua titik. dan titik seterusnya. fikiranku menerawang kembali merungkai kisah-kisah lalu. cerita demi cerita yang tidak terusik hampir bertahun- tahun lamanya. dalam hatiku berdetik apakah yang harus dibualkan? sesekali mataku meliar memerhatikan kenderaan yang bersimpang siur di jalan raya. kaki lima di bandar ini agak lengang hari ini. tidak ramai orang yang keluar membeli-belah. aku tercari-cari restoran tempat bertemu. selepas puas mencari, kutemukan juga restoran itu. aku mengerling sekali lagi jam di tangan. kelihatannya aku mungkin terlewat seminit dua. restoran separa mewah. agak besar dan bercermin kaca. aku terhendap-hendap di luar. mencari dan menjeling wajahnya...peluh di dahiku mula mengalir. bergoncang jantung di dada...ku perhatikan sosok seorang jiwa. dialah yang pernah kenali bertahun-tahun dulu tapi terpisah lantaran akal fikir yang berbeza. dia melambai tangan dari jauh. dan kali ini aku terpaksa membalas lambaiannya walaupun dia bersama-sama teman lain yang tidak ku kenali. 'mampus!' getusku dalam hati. janggal emosiku melihat temannya yang tidak kukenal. tapi kuberanikan juga. diperkenalkan aku kepada temannya yang lain. senyum demi senyum terukir. 'bolehlah!' hatiku memujuk. 'dah makan?' soalnya. 'oh, baru lepas' sahutku santai. kali terakhir aku menyentuh nasi lewat jam dua. 'lama di sini?' soalnya lagi. 'bolehlah' sahutku lagi. 'oh!' balasnya. sunyi sepi. sesekali terdengar sudu berlaga di meja sebelah. tiada lagi bual bicara. mati perbualan. 'aku nak order makanan sekejap, jom?' gesanya bersama teman-teman lain. 'tak apa, biar aku lihat menu dulu' jawabku lagi. 'okay'. sunyi sepi. dia mengatur langkah ke kaunter bersama teman. dan aku hanya memandang dari jauh. 'bodoh!' aku menyumpah diriku lagi. selepas menjamu selera aku mencari alasan untuk pulang. 'mahu jumpa member' aku memberitahu dengan selamba. 'oh aku pun nak balik' dia membalas sambil menarik beg galas di kerusi. kami meminta diri. pintu restoren dibuka. hujan di luar mencurah-curah. 'hujanlah!' kesal bunyinya. rokok sebatang dinyalakan. 'aku contact member ko yang kuat makan tu tadi, dia bagi tahu aku kau ada kat sini kerja dua bulan'. 'alamak ye ke? aku sebenarnya pon baru tahu tadi ko ada kat sini' kali ini perbualan menjadi tidak formal. tiada lagi sastera berbunga. hujan makin lebat mencurah-curah.